Teks dan gambar Azlan Hafeedz
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

ISTILAH ‘Born To Be Wild’ memang tidak asing serta sudah dianggap sinonim dengan peminat motosikal berkuasa tinggi di seluruh pelosok benua, tidak kira berjenama tersohor atau sebaliknya.Justeru, jika ada peluang atau cuti umum, mereka akan bergerak secara konvoi untuk memenuhi bermatlamat selain menguji kewibawaan serta kehebatan motosikal masing-masing.
Seramai 30 pemilik motosikal Nitro pelbagai model terutama NE150S Windstar II menyertai Konvoi Windstar anjuran Kelab Windstar Kota Bharu (KWKB) ke Taman Hutan Negeri di Gunung Stong, Dabong, baru-baru ini.Program itu bagi mempromosikan motosikal berkuasa tinggi keluaran Mofaz Motosikal Sdn Bhd kepada orang ramai.
Sekali pandang, motosikal model Windstar II yang diubah suai, hampir menyamai Harley-Davidson (HD) kerana reka bentuk dan kerangka motosikal itu.Sebelum berkonvoi, mereka berkumpul di kedai kopi White House, berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan, seawal jam 8 pagi untuk menikmati nasi lemak, telur separuh masak dan kopi panas, sebelum memulakan perjalanan kira-kira 180 kilometer (km). Walaupun dalam hujan gerimis, semangat mereka tetap utuh untuk meneruskan perjalanan ke Dabong.
Ketua konvoi selaku Naib Presiden KWKB, Sumardi Muhamad, berkata sepanjang perjalanan, penduduk setempat memberi sokongan padu kepada mereka, membuktikan motosikal jenama itu mendapat perhatian. Katanya, ketika singgah di Kampung Legeh, Jeli, ramai penduduk terutama remaja mengerumuni mereka kerana tertarik dengan keunikan jentera itu. “Mereka ingatkan motosikal di depan mata itu diimport, rupa-rupanya buatan tempatan. “Malah, ada juga yang tercengang sebaik mengetahui harga Windstar tidak sampai RM5,000,” katanya.
Menurutnya, kapasiti enjinnya, 150cc selain mempunyai cakera brek dengan tayar depan bersaiz 100 sentimeter (sm)/90-16 manakala belakang 130 sm/90-15 serta dua sistem penghidup melalui elektronik atau tendang. Beliau berkata, program itu memberi peluang ahli KWKB bertukar idea dan pandangan mengenai motosikal masing-masing. Katanya, sejak Nitro diperkenalkan pada 2002 di pasaran, lebih 2,000 memiliki jenama itu di seluruh negara.

